Dap ‘Anak Butir Tahi PAP’….Terima kasih Pas, Peringatan Kepada Rakan Pakatan Yang Lain – NGO ABATA

KUALA LUMPUR, 13 April – Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Pas khususnya presiden parti berkenaan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan siapakah sebenarnya Dap dan sewajarnya menjadi iktibar kepada parti-parti lain di dalam pakatan harapan.

Menurut beliau walaupun kecaman yang boleh dianggap paling keras oleh Hadi terhadap parti Dap dalam ceramahnya di Marang, namun ianya adalah satu pengkisahan cerita yang unik serta menarik kerana Pas pernah berada di bawah satu bumbung sebelum ini menerusi Barisan Alternatif dan juga pakatan rakyat.

“Kata-kata Hadi yang menyifatkan Dap adalah ‘anak butir tahi’ PAP (Parti Tindakan Rakyat) walaupun agak kasar ianya boleh menjelaskan kepada rakyat perihal serta wajah sebenar parti berkenaan.

“Apa yang diperkatakan oleh Hadi itu jika ianya keluar daripada mulut pimpinan Barisan Nasional (BN) tentulah boleh dipertikaikan namun yang mengeluarkan perkara ini adalah rakan seperjuangan yang pernah bersama Dap sebelum ini.

“Malah pada zaman keakraban dahulu, mereka bukan sahaja pernah berpelukan malah kalau tidak silap pimpinan tertinggi antara kedua-dua parti itu pernah menyambut hari jadi bersama. Jadi renung-renungkanlah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata “Dap adalah ‘anak butir tahi’ PAP (Parti Tindakan Rakyat), “. Katanya, Singapura adalah bapa Dap, yang memerintah negara itu adalah PAP.

“Dulu Singapura dalam Malaysia, ada cawangan PAP di Malaysia. Bila Singapura keluar dari Malaysia, PAP tukar jadi DAP. “Jadi, DAP ini anak butir tahi PAP. (Saya) Sebut dengan bahasa yang kasar sedikit,” katanya ketika berucap di ceramah perdana ‘Sempena Kejayaan Pembentangan RUU 355’ di Marang, Terengganu.

Ceramah berdurasi hampir 35 minit itu disiarkan oleh Terengganu Kini yang dimuatnaik di laman Youtube.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut membidas Dap yang mempertikaikan kerjasama Pas dengan UMNO sedangkan parti itu sendiri pernah berunding dengan pihak luar seperti Amerika Syarikat.

Azrinizam seterusnya menegaskan lontaran daripada bekas rakan baik Dap itu bukan sahaja satu tamparan hebat malah satu cabaran kepada Dap untuk menangkis apa yang diperkatakan oleh Presiden Pas itu.

“Maklumlah bekas rakan lama buka cerita sudah tentu akan memberi kepercayaan yang cukup tinggi kepada masyarakat di luar sana. Jadi di sinilah cabaran yang sebenar kepada Dap untuk menafikan soal tersebut.

“Namun apa pun saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Pas dalam soal ini dan kepada rakyat nilailah dengan matang apa yang diperkatakan oleh bekas sahabat karib Dap dulu itu,” ujarnya. -MediaUMNO

  • Infografik