UMNO Anjur Pertandingan Esei, Video Pendek “Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa”

KUALA LUMPUR, 11 April – Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bersempena ulang tahun yang ke-71 pada 11 Mei ini UMNO akan menganjurkan pertandingan menulis esei dan video pendek ‘Tujuh Dekad Membangunkan Negara Bangsa’.

Jelas beliau, ini adalah satu pendekatan baharu yang dilakukan oleh UMNO dengan mengetengahkan pertandingan esei dalam bahasa Malaysia dan Inggeris di samping pertandingan video pendek yang terbuka kepada semua lapisan kaum yang berumur 30 tahun ke bawah.

“Pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan kaum berumur 30 tahun ke bawah. Penyertaan bolehlah disalurkan ke email eseiumno71@gmail.com ataupun layari laman web UMNO-Online untuk mendapatkan butiran lanjut.

“Untuk pertandingan video pendek, ianya haruslah berdurasi tidak melebihi tiga minit manakala penulisan esei pula tidak lebih dari 1,500 patah perkataan” ujarnya dalam satu sidang media sempena sambutan Hari UMNO yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei ini.

Dalam masa yang sama beliau memaklumkan bahawa semua ahli UMNO yang telah mendaftar sebagai pengundi boleh mennyertai cabutan hadiah bertuah yang menawarkan tujuh buah kereta dan 10 buah motosikal. (Layari www.umno-online.my untuk maklumat lanjut).

Hari UMNO kali ini adalah sambutan besar-besaran bagi menyemarakkan lagi rasa perpaduan terutama menuju ke ‘mood’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sambutan ini juga akan dimulakan dengan larian bendera di seluruh negara secara empat penjuru iaitu bermula di Perlis, Kelantan, Johor dan Sabah.

Pelancaran larian bendera akan diadakan pada hari mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 26 April nanti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang akan menyerahkan bendera UMNO, ‘Sang Saka Bangsa’ kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri yang kemudiannya akan diserahkan pula kepada Ketua-ketua Pemuda UMNO Negeri. – MediaUMNO

  • Infografik