Selagi Masih Dalam Kerajaan Negeri PKR, Perang PAS – PKR Hanya Wayang Semata-mata

Pada saat ini, rakyat dihidangkan dengan adegan pihak PAS bercakaran dengan Azmin Ali dan PKR.

Isunya ialah tentang twitter Azmin yang dikatakan menyindir kekalahan Nik Abduh Nik Aziz pada pemilihan PAS peringkat kawasan Pengkalan Chepa. Azmin menulis : “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur” dan PAS melenting marah.

Isu ‘tok lebai PAS’ ini turut berjangkit ke negeri Pulau Pinang apabila Afif Bahardin, ADUN PKR Seberang Jaya telah mengeluarkan twitter di bawah:

@afifbahardin PRK Permatang Pauh 2015, Pemuda lebai dah boikot pun Keadilan Alhamdulillah kami menang dengan usaha jentera yang kuat dan rahmat Allah

Twitter Afif itu telah dikritik di dalam twitter beliau. Dan timbul juga persoalan sama ada ADUN PKR ini berbohong kerana Pemuda PAS Pulau Pinang telah buat u-turn dan sebulat suara memutuskan untuk membantu PKR Permatang Pauh?

Cuma yang hairannya ialah PAS Pulau Pinang begitu layu dan tidak bangkit untuk mengkritik ADUN PKR Seberang Jaya ini.

1. Apakah PAS negeri tidak mahu menuntut kerusi DUN dan Parlimen yang dipinjamkan kepada PKR Pulau Pinang sebelum ini?

2. Apakah PAS Pulau Pinang akan diam membisu dan sanggup diperlekehkan begitu sahaja seperti yang dilakukan oleh kerajaan DAP negeri?

Kita tunggu respons mereka.

Jika kita ikuti keseluruhannya, seolah-olah parti PAS sedang perang besar dengan PKR. Yang terbaru ialah kenyataan Muslimat PAS Selangor yang menganggap Azmin Ali tidak boleh dijadikan kawan dan seperti ‘kacang lupakan kulit’.

Mereka (Muslimat PAS) juga mahu Azmin Ali tidak terus mencabar kesabaran mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya. Orang yang lupa daratan tidak boleh dijadikan kawan, kata Muslimat PAS Selangor.

PAS juga mahu balik kerusi parlimen Gombak yang disandang oleh Azmin Ali dan juga beberapa lagi kerusi parlimen dan DUN di Selangor.

Itu yang kita baca di dalam media. Tetapi realiti, ianya hanya sekadar lakonan murahan kepimpinan PAS negeri untuk cuba membohongi penyokong-penyokongnya sahaja.

Mereka kononnya tampak garang mempertahankan Nik Abduk Nik Aziz tetapi PAS masih lagi tidur sekatil dengan Azmin Ali, PKR dan juga parti cauvinis DAP di Selangor. ADUN-ADUN PAS masih lagi duduk sebaris dengan Azmin Ali, PKR dan DAP.

Malah, kepimpinan PAS negeri masih memegang beberapa jawatan Exco negeri dan juga agensi kerajaan PKR negeri. Nampak bahawa mereka ini hanya pentingkan jawatan-jawatan itu dan tidak berani untuk menolak Azmin Ali, PKR dan terutamanya parti cauvinis DAP, parti yang bukan sahaja anti – RUU355 tetapi penyebab kepada perpecahan parti PAS.

Kerana itu bagi MiM, segala riuh rendah kepimpinan PAS negeri ini hanya mainan politik tin kosong sahaja dan tidak akan menganggu gugat Azmin Ali dan Pkr dan dipandang hina oleh rakyat kecuali jika seluruh kepimpinan PAS negeri keluar daripada kerajaan negeri yang dipimpin oleh individu yang memperlekehkan pemimpin PAS.

Maka selagi PAS masih berada di dalam kerajaan PKR negeri, adegan ‘cakar PKR-PAS-Azmin’ yang kita saksikan sekarang hanyalah bohong belaka.

Dr MiM

  • Infografik