Pergerakan Sayap UMNO Mulakan Persidangan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan memulakan persidangan hari ini selepas acara perasmian disempurnakan oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Pergerakan Wanita akan bersidang di Dewan Tun Hussein Onn dengan ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil akan menyampaikan ucapannya sementara Pemuda UMNO akan bersidang di Dewan Merdeka yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR, 29 November -- Perwakilan sayap - sayap UMNO mengibarkan bendera sewaktu menyanyikan lagu UMNO pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap - Sayap UMNO oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di PWTC sebentar tadi. Foto:MediaUMNO

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga akan bersama-sama dengan para perwakilannya dalam persidangan sayap terbabit yang akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail.

Antara intipati pesanan dalam ucapan perasmian sayap semalam, Zahid meminta ketiga-tiga sayap UMNO ini agar menyatakan ikrar untuk terus menumpahkan taat setia kepada presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberikan komitmen terbaik bagi mencapai kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang membuka tirai dengan amanat Presiden semalam akan disambung hari ini dengan persidangan sayap dan pada sebelah malamnya akan diadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Khas di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn. – MediaUMNO

  • Infografik