Kerajaan Filipina, MILF Tandatangani Perjanjian Bersejarah

MANILA, 27 Mac  – Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.

Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang serta turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

bangsamoro-ceria-aman-perjanjian-tanda-tangan-kerajaan-filipina

Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.

Perjanjian damai GPH-MILF bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro, yang akan mempunyai lebih banyak kuasa politik dan ekonomi.

Entiti baharu ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.

Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah baik sektor pertanian.

“Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah perdamaian.

Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara Malaysia dan GPH.

“Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina.

“Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya. Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao,” katanya.

Najib yakin GPH akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.

Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina.

“Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya.

Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan mengamalkan prinsip membenci keganasan.

“Kita patut menghormati hak asasi manusia, menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan mengamalkan kesederhanaan. Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati. Dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan makmur,” kata beliau.

Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara mereka.

“Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan, kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib sendiri.

“Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya. Banyak lagi usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya. Tetapi, komitmen terhadap keamanan – komitmen yang dapat saya lihat wujud di dalam dewan ini hari ini – tidak sepatutnya luntur,” kata beliau.

najib-aquino-perjanjian-mou-aman-bangsamoro-manila-filipina

Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan perjanjian  itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan yang tidak terhitung jumlahnya.

Sementara itu, beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan negara jiran, termasuk Filipina dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang sejak 8 Mac.

“Kehilangan 239 orang yang menaiki Penerbangan MH370 amat menyedihkan …dalam menghadapi detik-detik sukar ini, kami mendapat kekuatan daripada bantuan dan ihsan negara-negara sahabat,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia member sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting.

“Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.

“Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya,” kata beliau.

Aquino berkata Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro akan ditubuhkan menjelang 2015 untuk berfungsi sebagai kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya diadakan pada 2016.

Dokumen CAB 12 perkara itu ditandatangani pengerusi panel perdamaian MILF Mohagher Iqbal bagi pihak MILF dan ketua panel perdamaian Filipina Miriam Coronel-Ferel bagi pihak kerajaan Filipina.

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan Najib dan Aquino.

  • Infografik