Demokrasi Melalui Sistem Pilihanraya, Bukannya Sistem Di Jalanraya

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Mantan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kassim menyelar tindakan kepimpinan pembangkang yang menganjurkan himpunan rakyat pada 31 Disember ini dan menyifatkan penganjuran tersebut sebagai taktik lapuk dengan mempergunakan nama rakyat untuk kepentingan politik mereka.

Beliau seterusnya menyeru agar kepimpinan pembangkang berhenti daripada terus memperbodohkan rakyat di negara ini dengan anjuran himpunan yang sedemikian.

anwar-himpun-perhimpunan-haram-huru-hara-kucar-kacir-negara-guling-kerajaan-sah-tolak-demokrasi-pilihanraya-rakyat

“Mereka ini saya lihat cuba membawa masuk budaya asing, budaya luar yang bertentangan dengan budaya kita. Mereka lihat apa yang berlaku di Thailand, Mesir dan banyak lagi negara luar, yang menjatuhkan kerajaan melalui demostrasi jalanan, maka mereka cuba ciplak kaedah tersebut untuk di laksanakan di negara ini.

“Saya juga menyeru rakyat di negara ini agar tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk mengadakan demonstrasi seperti ini. Ini bukan budaya kita. Budaya kita ialah dengan bermuzakarah dan berbincang bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Lagipun, sampai bila kita mahu berdemostrasi?,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sepatutnya ujar beliau, pakatan pembangkang yang mendabik dada mendakwa mereka itulah juara demokrasi perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dalam PRU ke 13 baru-baru ini.

“Rakyat telah buat keputusan, maka mereka patut hormati keputusan majoriti rakyat di negara ini. Untuk apa lagi buat demo itu dan ini? Ini memperlihatkan pembangkang langsung tidak menghormati keputusan majoriti rakyat di negara ini.

“Negara kita mengamalkan sistem demokrasi di mana lima tahun sekali, rakyat akan memilih dan menentukan siapa yang layak untuk mentadbir negara ini, dan keputusan itu telahpun dibuat. Sistem pemilihan pemimpin di negara kita adalah berdasarkan sistem pilihanraya, dan bukannya sistem di jalanraya,” ujarnya.

himpunan-bantah-gst-retorik-huru-hara-pembangkang-politik-gimik-sempit-anwar

Justeru itu beliau berpendapat bahawa sepatutnya kepimpinan pembangkang mencari jalan yang lebih baik untuk memberikan pandangan dan pendapat, dan bukannya dengan cara menghasut rakyat ke jalan raya.

“Jangan kata kerajaan tidak mendengar suara pembangkang. Contohnya dalam penggunaan dakwat kekal ketika PRU yang didesak oleh pembangkang, kerajaan dengar dan laksanakan. Begitu juga dengan beberapa perkara lain lagi.

“Jadi bagi saya, himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang ini memperlihatkan sikap mereka yang rakuskan kuasa, dengki, khianat serta tidak memperdulikan nasib dan suara majoriti rakyat di negara ini.

“Majoriti rakyat di negara ini mahukan perpaduan dan bukannya perpecahan serta huru hara. Tetapi kepimpinan pembangkang tidak peduli hasrat dan aspirasi rakyat terbanyak kerana  apa yang penting, matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan, dan dengan itu kuasa akan berpindah ke tangan mereka tercapai,” jelasnya. -MediaUMNO

  • Infografik