DAP Diminta Berhenti Menipu Rakyat Isu Rumah Kos Rendah

PULAU PINANG, 3 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman meminta agar Lim Guan Eng berhenti menipu rakyat berkenaan isu rumah kos rendah dan sederhana kerana rakyat sudah semakin bijak menilai dan putar belit Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah semakin diketahui umum.

Menurut Zainal, fakta angka yang sering Guan Eng umumkan berkenaan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana selama ini adalah tidak benar atau dalam kata lain adalah penipuan semata. Ianya tidak benar kerana sehingga kini tiada bukti Kerajaan Negeri telah membina rumah kos rendah dan sederhana untuk rakyat.

“Telah empat tahun DAP mengambil alih pucuk pimpinan negeri ini namun sehingga kini mereka gagal membuktikan bahawa mereka telah membina rumah kos rendah dan sederhana untuk rakyat. Setiap kali isu ini dibangkitkan mereka hanya berdolak dalih dan terus menipu untuk mengelirukan rakyat.

“Rakyat masih lagi menagih jawapan tentang isu ini. Angka-angka yang didedahkan sebelum ini adalah yang dibina oleh kerajaan negeri terdahulu iaitu BN dan kebetulan siap semasa DAP telah mengambil alih Pulau Pinang. Sehingga kini kita masih menunggu lokasi, senarai pembeli dan bila ianya mula dibina untuk rumah kos rendah ini,” ujar Zainal Abidin dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Tambah Zainal, rata-rata rungutan setiap hari daripada rakyat yang mahu membeli rumah kos rendah dan sederhana ini adalah di mana lokasi rumah ini bakal dibina. Sehingga kini tiada hitam putih ataupun ‘benda’ yang dapat mereka lihat secara mata kasar untuk membuktikan bahawa memang wujud pembinaan rumah kos rendah dan sederhana ini.

“Jadi kita harap kerajaan DAP tidak akan terus berdolak dalih dan meletakkan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana ini sebagai satu keutamaan untuk rakyat secara keseluruhan di negeri ini. Kita lihat kerajaan DAP selain daripada rumah kos rendah ini mereka juga berdolak dalih tentang beberapa isu tentang alam sekitar, tentang pembinaan di lereng bukit dan semua ini dibuat dalam keadaan mereka mempunyai kekuatan untuk tidak menyatakan fakta sebenar.

“Rakyat boleh dikaburi dengan satu dua isu tetapi lama kelamaan mereka akan merasa kerajaan ini tidak boleh dipercayai tentang data angka yang diberi dan lama kelamaan kerajaan DAP akan membayar harga yang tinggi kerana tidak memberitahu perkara yang sebenar,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik